Ramai Manusia Dapat Malu Oleh Sikapnya Sendiri


Ramai manusia di dunia ini dia tidak sedar dia dapat malu oleh sikapnya sendiri

Kerana setengah-setengah hal dapat malu itu ia sangat tersembunyi

Kecuali orang yang mata hatinya tajam

Tajam oleh kerana rasa bertuhannya tajam sekali

Ketajamannya itu mudah dia menilai rasa hatinya

Menjadikan ia mudah menilai yang mana mulia dan mana yang terkeji

Sebagai contoh kita bawa di sini sebagai perhatian

Ada orang di dalam perbualannya atau di dalam berpidato memuji-muji diri

Memuji kepandaiannya, memuji kedudukannya, memuji kemampuannya

Atau bercakap besar, menunjukkan kesombongannya agar dihormati

Padahal orang yang mendengar meluat dan membencinya

Di belakangnya dikata dan dicaci

Orang mencaci dibawa ke mana-mana di dalam perbualan sehari-hari

Dijadikan bahan umpatan dan mengata

Padahal yang memuji diri tadi ingin dihormati

Ingin dimuliakan dan dikagumi

Tapi berlaku sebaliknya dia dicaci dan dibenci

Hilang penghormatan orang oleh sikapnya sendiri

Di sini baru kita mengerti

Otaknya sahaja tajam belum menjamin seseorang itu boleh menilai diri

Otak tidak mampu menilai baik buruk diri sendiri

Kalau dia tidak dipimpin oleh hatinya yang tajam

Yang menghidupkan fitrah semulajadinya, iaitu rasa bertuhan menghayati hati

Rasa kehambaan menjadi pakaian diri

Di sinilah hebatnya kedatangan para-para rasul dan nabi

Dan juga golongan kerohanian di dunia ini

Dapat menghidupkan fitrah dan hati yang sudah mati

Hingga pandai menilai yang baik dan yang buruk, yang mulia dan yang keji.

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi